KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berhubung isu titah adendum.
Hakim Datuk Seri Dr Alice Loke Yee Ching memutuskan Najib gagal menunjukkan bukti prima facie bahawa Ahmad Terrirudin bertindak menghina mahkamah.
Menurutnya, tuduhan bahawa bekas Peguam Negara menafikan kewujudan titah adendum hanyalah berasaskan spekulasi tanpa bukti jelas.
“Kesalahan menghina mahkamah adalah serius dan mahkamah tidak boleh bergantung kepada andaian semata-mata,” katanya dalam penghakiman.
Hakim turut menegaskan, pendirian Ahmad Terrirudin membantah semakan kehakiman Najib tidak boleh dianggap sebagai salah laku.
Tambahan pula, permohonan itu difailkan hampir setahun selepas bantahan Jabatan Peguam Negara dikemukakan, sekali gus dianggap lewat dan menjejaskan kes.
Sementara itu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Titah adendum yang diperkatakan itu didakwa memberi peluang kepada Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah, susulan sabitan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.