Mahkamah Tolak Permohonan AGC Halang Najib Isu ‘Titah Adendum’

KUALA LUMPUR/ Mahkamah Tinggi pada semalam menolak permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengenakan larangan bersuara (gag order) dalam prosiding semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaan kewujudan titah adendum.

Titah itu, yang dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, didakwa memberi kebenaran kepada bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara SRC International bernilai RM42 juta di bawah tahanan rumah.

Hakim Alice Loke Siew Fong dalam keputusannya berkata, larangan bersuara yang dicadangkan adalah terlalu luas dan tidak menimbulkan risiko terhadap keadilan perbicaraan.

“Saya tidak fikir terdapat risiko nyata terhadap keadilan perbicaraan kerana isu ini telah lama menjadi bahan perbincangan umum,” katanya di mahkamah.

Selain itu, mahkamah turut menolak permohonan AGC untuk perintah perlindungan bagi menyekat pendedahan semua dokumen dan bahan bukti yang dikemukakan sebagai eksibit dalam prosiding tersebut.

Kes semakan kehakiman Najib dijadual didengar pada 24 November ini.

Najib sebelum ini memfailkan semakan kehakiman pada April lalu, dengan mendakwa adanya titah adendum yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di rumah.

BBerkaitan

Latest articles