KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak bantahan awal Datuk Seri Najib Razak bagi membatalkan permohonan Peguam Negara untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung isu titah adendum.
Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, bersama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Susulan keputusan tersebut, mahkamah meneruskan prosiding dengan mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak dalam permohonan kebenaran merayu yang dikemukakan oleh Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar.
Ketika menyampaikan keputusan, Hakim Hasnah menjelaskan bahawa Peguam Negara mengemukakan tujuh persoalan undang-undang sebagai asas kepada permohonan kebenaran merayu tersebut.
Menurut beliau, persoalan-persoalan itu berkaitan dengan usaha Najib mengemukakan bukti baharu dalam semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Rayuan sebelum ini, melalui keputusan majoriti, membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tersebut.
“Pada dasarnya, keputusan Mahkamah Rayuan akhirnya melupuskan hak pihak-pihak yang terlibat, di mana bukti baharu dikemukakan di Mahkamah Tinggi ketika prosiding semakan kehakiman. Oleh itu, keputusan Mahkamah Rayuan adalah selari dengan tafsiran Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman (CoJA),” kata Hakim Hasnah.
Terdahulu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, membantah permohonan kebenaran merayu yang dikemukakan oleh Peguam Negara dengan alasan ia adalah perkara interlokutori yang tidak boleh dirayu.
Beliau berhujah bahawa permohonan tersebut tidak kompeten dan wajar ditolak melainkan disertakan dengan alasan yang kukuh.
Bagaimanapun, Mohd. Dusuki membantah hujahan tersebut, menegaskan bahawa pihaknya tidak seharusnya dihalang daripada mendapatkan kebenaran merayu pada peringkat ini.
Beliau juga menekankan bahawa Peguam Negara mempunyai tujuh persoalan undang-undang yang perlu dibentangkan, justeru hak mereka untuk merayu tidak wajar disekat.
Permohonan ini bertujuan mengetepikan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman berkaitan titah adendum ke Mahkamah Tinggi.
Pada 6 Januari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan Najib mencabar kewujudan titah adendum yang didakwa membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.
Bekas Perdana Menteri itu turut memfailkan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan dan enam pihak lain mengesahkan kewujudan titah tersebut, yang dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.