KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin, gagal dalam rayuan terbaru mereka untuk menangguhkan prosiding kebankrapan yang difailkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung tunggakan cukai berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.
Pesuruhjaya Kehakiman, Suhendran Sockanathan @ Saheran Abdullah, menolak rayuan tersebut selepas mendapati tiada alasan kukuh untuk menangguhkan tindakan kebankrapan yang sedang berjalan.
Menurutnya, mahkamah berperanan memastikan kutipan cukai berjalan lancar dan tidak melihat wujudnya sebarang bentuk kemudaratan yang boleh membenarkan penangguhan.
Beliau turut menegaskan bahawa isu-isu dibangkitkan pihak perayu termasuk dakwaan salah pengiraan, had masa, serta dakwaan berkaitan sumbangan politik adalah perkara yang menyentuh merit penilaian cukai dan hanya boleh diputuskan oleh Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP), bukan mahkamah.
“Rayuan kepada PKCP tidak menghalang kewajipan membayar cukai. Malaysia telah lama mengguna pakai pendekatan ‘bayar dahulu, pertikai kemudian’ di bawah Akta Cukai Pendapatan. Tiada kemudaratan lain yang dapat mewajarkan penangguhan,” katanya.
Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Najib dan Nazifuddin memaklumkan bahawa beliau telah diarahkan untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan terbaharu itu.
Kes tunggakan cukai berprofil tinggi ini telah melalui beberapa peringkat mahkamah.
Pada 16 Oktober 2023, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bahawa kedua-dua beranak itu perlu membayar tunggakan cukai selepas menolak rayuan mereka untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Sebelum ini, dua Mahkamah Tinggi berasingan membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Najib dan Nazifuddin bagi tempoh cukai 2011 hingga 2017.
Rayuan mereka untuk mengetepikan penghakiman itu turut ditolak Mahkamah Rayuan pada September 2021, sebelum Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran rayuan pada Mei 2022.










