KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes seorang lelaki yang didakwa membunuh kekasihnya yang hamil pada 2023 akan bermula pada 27 Okt depan di Mahkamah Tinggi Klang.
Timbalan Pendaftar Mohd Hirman Ab Raub menetapkan tarikh baharu itu ketika sebutan kes itu hari ini yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Farah Aqilah Ahmad Fuad, dan peguam Nik Ahmad Burhan Nik Abdul Mubin yang mewakili tertuduh Muhammad Fakrul Aiman Sajali.
Mahkamah menetapkan 27 hingga 31 Okt, 3 hingga 7 Nov, dan 10 hingga 14 Nov tahun ini untuk perbicaraan kes tersebut, manakala tarikh akhir bagi pengurusan kes ditetapkan pada 8 Sept.
Sebelum ini, mahkamah itu menetapkan perbicaraan kes berkenaan akan bermula pada 23 Feb 2026.
Fakrul Aiman, 22, didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau antara 8.30 malam pada 22 Mei dan 8 pagi 23 Mei 2023, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Kejadian tragik itu dipercayai berlaku akibat perselisihan faham sehingga seorang pelayan restoran dibunuh secara kejam dengan ditikam, dikelar perut dan dibakar teman lelakinya di sekitar kebun kelapa sawit di Jalan Sungai Limau pada 22 Mei 2023.