Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini menetapkan tarikh 17 Ogos untuk melihat sama ada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang diputuskan Yang di-Pertuanya pada 30 Julai lalu, boleh diadili dan dibicarakan di mahkamah.
Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim terlebih dahulu mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan pembubaran berkenaan yang dibuat oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, dan 32 lagi ahli DUN yang lai.
Peguam yang mewakili kesemua wakil rakyat terbabit, Tengku Fuad Ahmad berkata, mahkamah juga menetapkan 10 Ogos ini untuk hujahan bertulis daripada Peguam Besar Sabah, Brenndon Keith Soh, dan 12 Ogos bagi pihak beliau (Tengku Fuad) memfailkan hujahan balas.
Beliau berkata, permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman itu bagi menentukan sama ada Yang di-Pertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, sebagai responden pertama, telah bertindak mengikut undang-undang ketika membubarkan DUN atas nasihat Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga responden kedua.
Selain itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan Sabah masing-masing sebagai responden ketiga dan keempat.
Hujahan yang dikemukakan di hadapan Shim ialah Juhar diberikan nasihat yang salah yang menyebabkan pembubaran DUN Sabah dilakukan.
Kemelut politik yang berlaku di Sabah menyaksikan DUN dibubarkan pada 30 Julai lalu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.