Mahkamah Sesyen Selayang hari ini menolak permohonan empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus sebuah syarikat membaiki jentera berat yang didakwa membuang bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong, Rawang, untuk dibebaskan dengan ikat jamin.
Hakim Syafeera Mohd Said membuat keputusan itu selepas menimbang hujahan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad dan peguam Datuk M Reza Hassan yang mewakili kesemua tertuduh.
Empat ahli lembaga pengarah syarikat itu merupakan adik-beradik – Yip Kok Wai, 53; Yip Kok Mun, 58; Yip Kok Kuin, 50 dan Yip Kok Wong, 60; serta pengurus bengkel tersebut, Ho Voon Leong, 59, yang berada di dalam kandang tertuduh dilihat saling berpandangan selepas mendengar keputusan mahkamah.
Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke Penjara Bentong, Pahang pada 11.05 pagi.
Ketika prosiding berlangsung Muhamad Iskandar tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan kes tersebut tidak boleh dijamin.
“Kes ini mengakibatkan enam juta penduduk di Malaysia tidak ada air selama lima hari. Isu ini juga telah mendapat perhatian pucuk pimpinan teratas negara.
“Sekiranya mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan saya, saya memohon mahkamah mengenakan jaminan RM2 juta bagi setiap tertuduh,” katanya.
M Reza kemudiannya merayu jaminan yang rendah dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.
“Ketika kejadian anak-anak guam saya yang menyerah diri di balai polis… selain itu, mereka juga bersedia untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.
Sebelum itu, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.
Bagi pertuduhan pertama, kesemua mereka didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya dari bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.
Kelima-lima lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di premis berkenaan di Kampung Sungai Dua, Rawang antara 2 dan 3 Sept lepas mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Manakala bagi pertuduhan kedua pula, mereka dengan niat bersama dituduh telah melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya daripada bengkel sama ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa sama.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian pencemaran minyak daripada kilang itu pada 3 Sept lalu, empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.