Mahkamah Syariah Sahkan Dua Beradik Mangsa Lemas Beragama Islam

PORT DICKSON: Misteri mengenai status agama dua beradik yang maut selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke Sungai Linggi, Tanjung Agas, minggu lalu akhirnya terjawab apabila Mahkamah Tinggi Syariah Seremban mengesahkan kedua-duanya beragama Islam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, keputusan itu dibuat dalam sesi pendengaran pada Selasa dan hakim memerintahkan jenazah kanak-kanak terbabit dikebumikan mengikut syariat Islam.

“Pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) akan menguruskan pengebumian mangsa di Tanah Perkuburan Maqbarah Salimah, manakala waris juga telah bersetuju memberi kuasa kepada JHEAINS untuk menuntut jenazah,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, timbul persoalan mengenai status agama dua kanak-kanak itu apabila nama mereka dalam dokumen rasmi berbunyi seperti nama masyarakat Cina.

JHEAINS kemudian membuat semakan dengan Jabatan Agama Islam Kelantan, namun tiada rekod pengislaman ditemui.

Pengarah JHEAINS, Mohd Asri Abdullah, menjelaskan pihaknya akhirnya bergantung kepada pengakuan bapa mangsa yang menyatakan anak-anaknya telah diislamkan di Kelantan.

Lelaki itu turut membuat pengakuan bertulis kepada pihak polis.

Dua beradik berusia enam dan lapan tahun itu ditemukan lemas selepas kereta yang dinaiki bersama bapa mereka dan seorang wanita terbabas ke dalam sungai.

Difahamkan, ketika kejadian, kenderaan tersebut diletakkan di tebing sungai dengan enjin dimatikan sementara si bapa keluar untuk merokok.

BBerkaitan

Latest articles