PUTRAJAYA, – Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 terhadap bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony, selepas menolak rayuan akhirnya berhubung kes pemalsuan dokumen kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlaku 11 tahun lalu.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan, dan Datuk Azmi Ariffin, memutuskan bahawa hukuman penjara ke atas Peter, 54, berkuat kuasa serta-merta bermula hari ini.
Peter yang sebelum ini mengemukakan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022, yang menghukumnya dengan tiga tahun penjara dan denda RM50,000 atau tambahan 15 bulan penjara jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Peter, selaku Pengarah Urusan Asli Jati Engineering, didakwa memalsukan surat daripada pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dalam tajuk surat tersebut dengan niat untuk menipu. Surat itu kononnya menyatakan bahawa UMS telah mengadakan kolaborasi dengan syarikat miliknya, Asli Jati Engineering.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.
Peter didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pada 18 April 2023, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache, mengekalkan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen selepas menolak rayuan Peter untuk mengetepikan sabitan dan hukuman tersebut.
Peter diwakili oleh peguam Datuk Nicholas Kow Eng Chuan, manakala pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini menandakan berakhirnya proses rayuan Peter, dan beliau kini perlu menjalani hukuman penjara tanpa sebarang penangguhan lagi.