Mahkamah Rayuan Kekal Keputusan Tolak Semakan Kehakiman Syed Saddiq

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menolak rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tiga pengundi kawasan itu untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan memberhentikan peruntukan kawasan Parlimen berkenaan.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hashim Hamzah dalam keputusan sebulat suara memutuskan permohonan semakan kehakiman difailkan perayu pada 23 April 2024 jelas di luar tempoh ditetapkan.

Pada 24 Dis 2024, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Syed Saddiq bersama Najib Abu Nawar, Mohd Bakirudin Abdullah dan Muhamad Fadzly Bisri atas alasan ia difailkan di luar tempoh ditetapkan.

Hashim yang menyampaikan keputusan hari ini berkata, pihak perayu berhujah permohonan dibuat dalam tempoh ditetapkan dengan mengambil kira surat bertarikh 29 Mac 2024 kepada responden yang kandungannya menyatakan jika surat itu tidak dibalas dalam tujuh hari, perayu menganggap tuntutan mendapatkan peruntukan khas itu ditolak, dengan tempoh tujuh hari tamat 5 April 2024.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Azmi Ariffin dan Hayatul Akmal Abdul Aziz berkata, pihak responden pula berhujah permohonan untuk kebenaran semakan kehakiman itu serta afidavit sokongan tidak menyatakan secara spesifik tarikh keputusan ingin dicabar.

Hashim berkata, pihak responden berhujah tarikh sewajarnya bermula tarikh Muda keluar daripada kerajaan perpaduan pada 10 Sept 2023.

“Berkaitan isu ini, kami meneliti afidavit sokongan, iaitu perayu menyatakan selepas Muda menarik diri daripada kerajaan perpaduan diketuai responden pertama (perdana menteri) dan sejurus selepas pengumuman tersebut, akses kepada sistem myKHAS yang menguruskan permohonan peruntukan pembangunan RM2 juta untuk Parlimen Muar dibatalkan dan baki RM500,000 serta segala projek dimohon dan diluluskan dibatalkan,” katanya dalam prosiding melalui sidang video.

Beliau berkata, mahkamah juga berpendapat perayu mengetahui keputusan telah dibuat berkaitan peruntukan itu pada tarikh Muda meninggalkan kerajaan perpaduan.

“Oleh itu, kami bersetuju dengan hujahan responden bahawa tarikh keputusan pada 10 Sept 2023, iaitu dalam tempoh tiga bulan dan tamat 10 Dis 2023. Permohonan yang difailkan pada 23 April 2024 jelas di luar batasan.

“Kami mendapati hakim Mahkamah Tinggi tidak terkilaf dari segi fakta dan undang-undang dalam mencapai keputusan tersebut.

“Memandangkan isu utama telah diputuskan, isu sampingan lain menjadi tidak relevan. Oleh itu keputusan hakim Mahkamah Tinggi dikekalkan dan rayuan ditolak. Kami tidak membuat apa-apa perintah mengenai kos memandangkan kes ini melibatkan kepentingan awam.”

Pada prosiding hari ini, peguam Lim Wei Jiet mewakili ketiga-tiga perayu, manakala Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan mewakili perdana menteri dan kerajaan.

Dalam permohonan semakan kehakiman difailkan 23 April 2024, Syed Saddiq dan tiga pengundi kawasan itu memohon perintah membatalkan keputusan memberhentikan atau membatalkan baki RM500,000 daripada jumlah RM1.7 juta, yang sepatutnya disalurkan terus kepada akaun bank Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar bagi tujuan perbelanjaan program kebajikan, kesejahteraan rakyat dan bantuan bencana di Parlimen Muar.

Mereka turut menuntut akses Syed Saddiq kepada sistem myKHAS, yang menguruskan dana pembangunan RM2 juta untuk kawasan Parlimen dikembalikan, selain pembatalan beberapa projek yang diluluskan bernilai RM230,300.

Mereka juga mencabar tindakan responden enggan meluluskan sebarang peruntukan kepada Syed Saddiq sebagai Ahli Parlimen Muar bagi program di bawah inisiatif ‘Projek Mesra Rakyat’ atau program seumpamanya bagi 2024.

Mereka mendakwa tindakan itu menafikan hak kesamarataan Syed Saddiq selaku Ahli Parlimen Muar dan tiga pemohon lain sebagai pengundi kawasan itu seperti termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan (hak kesamarataan).

BBerkaitan

Latest articles