Mahkamah Rayuan benarkan pasport Ahmad Zahid dikembalikan secara kekal

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan pasport antarabangsa dan pasport diplomatik secara kekal bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi di luar negara.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara hari ini membenarkan permohonan Ahmad Zahid selepas Mahkamah Tinggi pada 3 Februari lalu yang menolak permohonan beliau untuk mendapatkan dokumen itu secara kekal.

Menurut Hanipah, panel berpuas hati bahawa permohonan yang dibuat Ahmad Zahid mempunyai merit

Turut bersidang, hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Lim Chong Fong.

“Mahkamah sudah meneliti hujahan pemohon, oleh itu membenarkan permohonan ini,” katanya.

Permohonan semakan Ahmad Zahid itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob.

Sementara itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid, ketika ditemui selepas prosiding berkata, jaminan RM2 juta yang dikenakan mahkamah tinggi sebelum ini dikekalkan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim mahkamah rayuan) sebelum ini hanya membenarkan pelepasan sementara dokumen itu untuk Ahmad Zahid, bagi urusan memohon pasport diplomatik dan seterusnya menyerahkan semula kedua-dua pasport itu kepada mahkamah selepas segala urusan permohonan diplomatik selesai.

Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, membabitkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

Berdasarkan notis usul yang difailkan pada 13 Februari lalu, Ahmad Zahid memohon pelepasan pasport dipertimbangkan dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan supaya ia dapat dilepaskan secara penuh dan kekal, dengan apa-apa syarat sewajarnya yang dikenakan oleh mahkamah itu.

Menerusi afidavit sokongan, Ahmad Zahid berkata Hakim Sequerah terkhilaf dan salah dalam menggunakan budi bicara ketika menolak permohonannya, untuk mendapatkan dokumen itu secara kekal.

Beliau berkata, keputusan itu bakal memprejudiskan hak dan tanggungjawabnya sebagai individu, yang berada dalam barisan kepimpinan negara kerana perlu memohon secara rasmi di mahkamah, setiap kali perlu ke luar negara atas urusan kerja.

Katanya, sebagai seorang individu yang menjawat antara jawatan tertinggi dalam negara, ia dilihat tidak praktikal dan rumit untuknya memohon ke mahkamah setiap kali ingin melakukan tugasan ke luar negara.

Ahmad Zahid menyatakan bahawa permohonan itu sama sekali tidak bersifat mala fide (niat jahat) atau prejudis terhadap mana-mana pihak, kerana beliau mengaku janji untuk tetap memberi kerjasama penuh dalam menyelesaikan kes (rasuah) sehingga ke peringkat akhir pembelaan

BBerkaitan

Latest articles