PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang sebelum ini membebaskan seorang lelaki daripada pertuduhan membunuh bapanya atas alasan tidak siuman, dan memerintahkan tertuduh membela diri.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah sebulat suara berpendapat Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila membebaskan Phang Kar Foong, 54, pada akhir kes pendakwaan tanpa terlebih dahulu memerintahkannya mengemukakan pembelaan.
“Oleh itu, perintah pembebasan itu diketepikan dan kes ini dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Ipoh untuk responden membela diri di hadapan hakim yang sama,” katanya.
Panel itu turut mengarahkan Phang direman di sebuah fasiliti sesuai sementara menunggu perbicaraan disambung. Keputusan berkenaan dibuat selepas mahkamah menerima rayuan pihak pendakwaan.
Turut menganggotai panel ialah Hakim Azmi Ariffin dan Noorin Badaruddin.
Phang, yang membantu menguruskan kedai runcit bapanya, didakwa membunuh Pang Ket Tai, 75, di rumah mereka di Jalan Besar, Kampung Baru Gunung Rapat, Ipoh, antara jam 10.30 pagi hingga 6.30 petang pada 12 September 2020.
Laporan psikiatri oleh pakar dari Hospital Bahagia Ulu Kinta sebelum ini mendapati tertuduh menghidap gangguan bipolar dengan ciri psikosis.
Malah, ketika rawatan, dia dilaporkan mencederakan kedua-dua matanya hingga terpaksa menjalani pembedahan yang menyebabkan penglihatan terjejas.
Pada 30 September 2024, Mahkamah Tinggi membebaskan Phang tanpa memanggilnya membela diri, sebaliknya memerintahkannya ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta mengikut Seksyen 348(2) Kanun Prosedur Jenayah atas budi bicara Sultan Perak.
Semasa prosiding rayuan, peguam Gurbachan Singh berhujah keputusan Mahkamah Tinggi adalah wajar kerana laporan psikiatri telah membuktikan ketidaksiuman anak guamnya dari sudut undang-undang dan perubatan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail menegaskan keputusan tersebut pramatang dan bercanggah dengan prinsip undang-undang di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan.
Beliau turut merujuk kes PP lwn Mohd Rozani Yahaya, di mana Mahkamah Persekutuan pada Oktober 2024 memutuskan bahawa membebaskan tertuduh sebelum pembelaan dipanggil adalah satu kesilapan undang-undang yang serius.