Kebenaran Rayuan Di Mahkamah Persekutuan Beri Harapan Baharu Kepada Rakyat Muar — Syed Saddiq

KUALA LUMPUR, – Mahkamah Persekutuan hari ini memberikan kebenaran kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama tiga pengundi di kawasan itu untuk meneruskan rayuan berhubung keputusan kerajaan menarik balik peruntukan kawasan Parlimen Muar bagi tahun 2023 dan 2024.

Peguam kepada Syed Saddiq, Lim Wei Jiat berkata Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan kebenaran merayu selepas mendapati terdapat persoalan undang-undang penting yang perlu diputuskan.

Menurutnya, sebelum ini Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan pihaknya atas alasan perkara itu melibatkan dasar kerajaan yang berada dalam bidang kuasa eksekutif, selain memutuskan bahawa permohonan tersebut difailkan di luar tempoh masa yang ditetapkan.

“Permohonan kami tidak berjaya di Mahkamah Tinggi dan juga di Mahkamah Rayuan. Namun pada hari ini, Mahkamah Persekutuan telah memberikan kebenaran untuk kami berhujah secara lanjut pada satu tarikh pendengaran yang akan ditetapkan kemudian,” katanya kepada media selepas prosiding mahkamah.

Beliau berkata mahkamah membenarkan tiga persoalan undang-undang untuk dihujahkan dalam rayuan tersebut.

Persoalan pertama berkaitan tempoh masa bagi memfailkan semakan kehakiman, yang lazimnya perlu dibuat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh seseorang mengetahui keputusan yang ingin dicabar.

Namun persoalan yang dibangkitkan ialah sama ada tempoh tersebut boleh bermula kemudian sekiranya pihak eksekutif menunjukkan kesediaan untuk menilai semula atau mempertimbangkan keputusan berkenaan.

Dua lagi persoalan undang-undang pula menyentuh sama ada keputusan kerajaan untuk menarik balik peruntukan kepada sesebuah kawasan Parlimen boleh disemak oleh mahkamah atau ia merupakan kuasa eksekutif yang tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman.

Lim berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu memberi isyarat bahawa badan kehakiman bersedia meneliti secara lebih mendalam isu penting berhubung kesaksamaan dalam pemberian peruntukan kepada kawasan Parlimen.

Katanya, perkara itu juga menyentuh prinsip layanan sama rata seperti yang dijamin di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata keputusan mahkamah tersebut merupakan satu perkembangan penting khususnya kepada rakyat di kawasan Parlimen Muar.

Menurutnya, ketika kerajaan dibentuk pada tahun 2022, setiap ahli Parlimen kerajaan diperuntukkan kira-kira RM4 juta untuk pembangunan kawasan.

Bagaimanapun katanya, selepas beliau mengambil keputusan untuk tidak lagi menyokong kerajaan dan berada di blok pembangkang, peruntukan tersebut ditarik balik.

“Peruntukan itu bukan untuk saya secara peribadi. Ia disalurkan kepada sekolah, surau, masjid dan pelbagai inisiatif komuniti melalui sistem MYHAS.

“Sebagai ahli Parlimen, saya hanya mengemukakan permohonan. Dana itu diluluskan oleh sistem dan disalurkan terus kepada institusi seperti sekolah atau persatuan komuniti,” katanya.

Beliau berkata apabila peruntukan itu dihentikan, banyak pihak yang sebelum ini telah dijanjikan bantuan turut terjejas.

Menurut Syed Saddiq, keputusan Mahkamah Persekutuan memberi harapan bahawa satu dasar yang lebih adil dapat diwujudkan supaya semua kawasan Parlimen menerima peruntukan tanpa mengira perbezaan politik.

“Harapan saya supaya pada masa akan datang semua kawasan Parlimen di Malaysia menerima peruntukan yang adil dan saksama supaya bantuan kepada rakyat tidak bergantung kepada warna politik,” katanya.

Tarikh pendengaran rayuan penuh di Mahkamah Persekutuan akan ditetapkan kemudian.

BBerkaitan

Latest articles