Mahkamah Perintah Kerajaan Bayar RM1.1 Juta kepada Ibu Mendiang Model Belanda

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Kerajaan Malaysia dan tiga lagi pihak bertanggungjawab membayar RM1.1 juta kepada ibu model Belanda, Ivana Esther Robert Smit, yang ditemui maut selepas terjatuh dari sebuah kondominium mewah di ibu negara lapan tahun lalu.

Hakim Roz Mawar Rozain dalam keputusannya berkata, mahkamah berpuas hati bahawa pihak berkuasa telah cuai dan gagal menjalankan siasatan secara telus dan profesional, menyebabkan keadilan dinafikan kepada ibu mangsa, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen.

“Kes ini mencerminkan kegagalan ketara dalam melaksanakan tugas penyiasatan oleh pihak berkuasa. Terdapat pelanggaran serius terhadap prosedur, termasuk kegagalan memelihara bukti dan pengurusan tempat kejadian jenayah,” kata Roz Mawar.

Hakim turut memperincikan jumlah ganti rugi seperti berikut; RM500,000 ganti rugi am bagi tekanan emosi, kesedihan mental dan kehilangan akibat kegagalan siasatan; RM300,000 bagi ganti rugi teruk atas kelakuan zalim dan cuai pihak berkuasa terhadap penderitaan plaintif dan RM300,000 sebagai ganti rugi teladan untuk menghukum salah laku dalam pejabat awam dan mencegah kejadian serupa berlaku di masa hadapan.

“Ganti rugi ini adalah mesej jelas bahawa pihak berkuasa awam perlu melaksanakan tugas mereka dengan ketekunan, tanggungjawab dan akauntabiliti tinggi,” tambah Roz Mawar.

Walaupun hakim menegaskan keputusan itu bukan kritikan terhadap pasukan polis secara keseluruhan, beliau menekankan ia adalah teguran terhadap kegagalan institusi tertentu dalam menangani kes berkepentingan tinggi seperti ini.

Kes ini berpunca daripada kematian Ivana Smit, model Belanda berusia 18 tahun yang ditemui maut di tingkat enam Cap Square Residence pada 7 Disember 2017, selepas dilaporkan terjatuh dari unit kondominium di tingkat 20 milik pasangan warga Amerika Syarikat, Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.

Menurut pernyataan tuntutan, mendiang dipercayai berpesta bersama pasangan itu sebelum ditemui dalam keadaan bogel di balkoni tingkat bawah pada sekitar pukul 10 pagi.

Ibu mangsa kemudiannya memfailkan saman menamakan empat defendan iaitu Ketua Polis Negara, Pegawai Penyiasat, ACP Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles