Mahkamah Dengar Hujah Notis Usul Ibu Bapa Zayn Rayyan Batal Pertuduhan 25 Februari

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 25 Februari sebagai tarikh untuk mendengar hujahan berkaitan notis usul yang difailkan oleh ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin, bagi membatalkan pertuduhan terhadap mereka atas dakwaan mengabaikan anak autistik itu sehingga berisiko menyebabkan kecederaan fizikal.

Hakim Mahkamah Tinggi Roszianayati Ahmad membuat keputusan tersebut bagi permohonan yang dikemukakan oleh Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, yang kini sedang dibicarakan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz, pihak pendakwaan telah menyerahkan jawapan balas terhadap afidavit notis tersebut pada pagi tadi dan bersedia untuk mengemukakan hujahan pada tarikh yang ditetapkan.

Terdahulu, pihak pembelaan membuat permohonan lisan bagi menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan notis usul, namun mahkamah menolak permohonan tersebut.

Peguam pasangan itu, Lavanesh Haresh Mahadevan, berhujah bahawa penangguhan diperlukan bagi memastikan integriti notis usul terjaga, memandangkan tekanan yang mungkin timbul ketika perbicaraan sedang berlangsung.

Memandangkan perbicaraan baru bermula semalam dengan hanya seorang saksi dipanggil, saya berpendapat bahawa mahkamah wajar menggunakan kuasa yang ada untuk menangguhkan prosiding ini,” katanya.

Bagaimanapun, Aqharie Durranie membantah permohonan itu dengan alasan pihak pembelaan telah memfailkan semakan semula pada Jumaat lalu untuk menangguhkan perbicaraan, namun permohonan tersebut telah ditolak sebelum ini.

Hakim Roszianayati Ahmad kemudiannya menolak permohonan lisan itu, dengan menyatakan bahawa permohonan semakan semula sudah pun dimasukkan oleh pihak pembelaan di mahkamah lain.

Pada 21 Januari, pasangan itu memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi Shah Alam, memohon agar pertuduhan terhadap mereka dibatalkan atas alasan tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001. Mereka juga meminta agar dilepas dan dibebaskan serta-merta.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing berusia 30 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan, 6 tahun, sehingga berisiko menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa berlaku antara 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023**, di kawasan **PJU Damansara Damai.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 tau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada 6 Disember 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Hasil bedah siasat menunjukkan terdapat kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa, dipercayai akibat **usaha mempertahankan diri daripada serangan . — BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles