KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pengasas platform e-dagang FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar untuk mendapatkan pasport antarabangsa sementara bagi membolehkan mereka menunaikan umrah.
Hakim Rosli Ahmad memutuskan demikian selepas peguam Ashok Athimulan yang mewakili pasangan itu memohon untuk mendapatkan pasport berkenaan hari ini hingga 15 Jan, dan ia tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.
Terdahulu Ashok berkata kedua-dua anak guamnya akan bertolak ke Arab Saudi untuk menunaikan umrah pada 5 Jan dan dijangka kembali ke Malaysia pada 14 Jan depan.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak membantah perkara itu dan memaklumkan pasport perlu dikembalikan kepada mahkamah sebelum tarikh sebutan kes pada 22 Jan depan, namun beliau menyerahkan kepada budi bicara mahkamah.
Wan Shaharuddin turut bertanyakan kepada Fadzarudin sama ada perancangan untuk menunaikan umrah dibuat sebelum atau selepas pertuduhan, Fadzarudin menjawab ia dibuat selepas pertuduhan dikenakan terhadapnya.
Pada 5 Dis lepas, Vivy Yusof atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini, pada 21 Ogos 2018.