Mahkamah Benarkan Umno Dan 3 Yang Lain Dapat Semula RM194 Juta

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan bagi menangguhkan keputusan mahkamah terdahulu yang menolak saman pelucutan hak wang yang bernilai RM194 juta.

Sehubungan itu wang berkenaan diperolehi semula Umno, Wanita MCA, Perano Sdn Bhd dan Binsabi Sdn Bhd sementara menunggu rayuan pihak pendakwaan.

Pada 7 Februari lalu, mahkamah menolak saman pelucutan hak yang difailkan kerajaan terhadap Umno, Wanita MCA, Perano dan Binsabi setelah ia dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pihak pendakwaan menuntut melucutkan wang RM192 juta daripada Umno, RM300,000 daripada Wanita MCA, RM337,634,78 daripada Perano dan RM777,250 daripada Binsabi.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan ketika membaca keputusan berkata penolak permohonan penangguhan itu dibuat kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan keadaan khusus bagi menjamin penangguhan.

Beliau kemudian memberitahu timbalan pendakwa raya (DPP) Mahadi Abdul Jumaat bahawa pihak pendakwaan sekarang boleh menulis surat kepada Mahkamah Rayuan untuk meminta penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Peguam yang mewakili Umno, Wanita MCA, Perano dan Binsabi adalah Hariharan Tara Singh, Ben Chan, Mohd Khalil Tajuddin dan Habizan Rahman.

Habizan dalam pada itu memaklumkan wang tersebut akan dipulangkan kepada responden kerana bank tidak mahu melepaskan wang berkenaan kecuali terdapat surat dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membenarkannya.

Bagaimanapun ia tertakluk kepada beberapa proses pentadbiran sebelum diserahkan.

BBerkaitan

Latest articles