KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini membenarkan pindaan pertuduhan terhadap ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, yang didakwa atas kesalahan mengabaikan anak mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Pindaan pertuduhan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, dan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Berdasarkan pertuduhan yang dipinda, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf didakwa mengabaikan Zayn Rayyan antara jam 12 tengah hari pada 5 Disember hingga jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023. Kejadian itu berlaku di sekitar Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai, sehingga ke kawasan sungai berhampiran.
Mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.
Pindaan pertuduhan ini lebih spesifik berbanding pertuduhan asal pada 12 Jun tahun lalu, yang hanya menyatakan lokasi kejadian sebagai Jalan PJU 10/1, Damansara Damai, tanpa menyebut nama blok dan apartment terlibat.
Mayat Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan terbaring di anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman pada 6 Disember 2023, sehari selepas dia dilaporkan hilang.
Hasil bedah siasat mengesahkan bahawa kanak-kanak autisme itu mati dibunuh.