PUTRAJAYA: Mahkamah hari ini membenarkan permohonan kebenaran untuk merayu berhubung isu penarikan balik peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan dua lagi selepas memutuskan bahawa pemohon telah memenuhi peruntukan yang ditetapkan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Keputusan itu susulan pada 24 Disember 2024, apabila Mahkamah Tinggi menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan oleh Syed Saddiq bersama Najib Abu Nawar, Mohd Bakirudin Abdullah dan Muhamad Fadzly Bisri, dengan alasan ia difailkan di luar tempoh ditetapkan.
Panel Hakim, Datuk Nordin Hassan, Datuk Lee Swee Seng, HMP dan Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.
Permohonan tersebut membabitkan beberapa persoalan undang-undang penting, termasuk isu tempoh had masa bagi semakan kehakiman, justisiabiliti keputusan Eksekutif, serta sama ada tindakan menarik balik peruntukan bagi Parlimen boleh disemak oleh mahkamah berdasarkan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesamarataan di sisi undang-undang.
Dalam prosiding itu, peguam pemohon berhujah bahawa wujud percanggahan tafsiran dalam kalangan mahkamah berhubung tempoh had masa tiga bulan untuk memfailkan semakan kehakiman di bawah Aturan 53 Kaedah 3(6) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Yayasan Pengaman Malaysia v Teoh Heng Han & Anor, yang menyatakan tempoh tersebut boleh bermula daripada keputusan yang terkemudian sekiranya pihak berkuasa menunjukkan kesediaan untuk mempertimbangkan semula keputusan terdahulu.
Selain itu, mahkamah turut meneliti isu sama ada keputusan Eksekutif berkaitan peruntukan pembangunan boleh disemak oleh kehakiman, dengan merujuk kes Dato’ Seri Dr Michael Jeyakumar Devaraj v Perdana Menteri Malaysia & Anor.
Peguam pemohon berhujah bahawa keputusan dalam kes itu tidak menetapkan prinsip bahawa semua keputusan Eksekutif adalah tidak boleh diadili (non-justiciable), sebaliknya menegaskan bahawa pengadilan bergantung kepada fakta setiap kes.
Menurutnya, mahkamah mempunyai kewajipan untuk campur tangan sekiranya sesuatu keputusan Eksekutif didapati bercanggah dengan Perlembagaan atau undang-undang, atau mengandungi unsur sewenang-wenangnya, tidak rasional, niat jahat (mala fide) atau penyalahgunaan kuasa.
Peguam itu turut membezakan fakta kes semasa dengan kes Michael Jeyakumar, dengan menyatakan bahawa dalam kes ini peruntukan sebanyak RM4 juta telah diluluskan dan disalurkan kepada kawasan Parlimen Hulu Langat serta ditanda khusus dalam sistem MyPATH.
Menurutnya, sebahagian besar dana itu telah digunakan bagi projek komuniti dan penarikan balik peruntukan tersebut menyebabkan beberapa projek termasuk pembinaan surau terhenti.
Beliau berhujah bahawa perkara itu menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan pelanggaran Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan kerana kawasan Parlimen lain terus menerima peruntukan mereka.
Sementara itu, peguam responden membantah permohonan tersebut dengan alasan bahawa persoalan undang-undang yang dikemukakan tidak melibatkan prinsip undang-undang yang penting secara umum dan hanya memberi manfaat kepada kes pemohon.
Namun mahkamah mempersoalkan hujah tersebut dengan menyatakan bahawa pemohon mewakili sebuah komuniti yang besar dan isu berkenaan mempunyai kepentingan awam.
Mahkamah akhirnya memutuskan bahawa permohonan kebenaran merayu memenuhi syarat yang ditetapkan mengikut seksyen Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, sekali gus membenarkan kes itu dibawa ke peringkat rayuan seterusnya.
Mahkamah belum memutuskan tarikh pendengaran kes.










