KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Datin Seri Pamela Ling Yueh untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar waran tangkap dan larangan perjalanan terhadapnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Permohonan itu difailkan pada 7 April lalu, dua hari sebelum Pamela dilaporkan hilang, dengan menamakan SPRM dan Ketua Pengarah Imigresen sebagai responden.
Hakim Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh turut membenarkan Pamela memohon perisytiharan bahawa SPRM tidak mempunyai kuasa untuk menyekat mana-mana individu daripada keluar negara kecuali mengikut peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 44 Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (APPWH).
Peguam Kanan Persekutuan, Mohd Faisal Md Noor yang mewakili Jabatan Peguam Negara tidak membantah keseluruhan permohonan, kecuali permohonan pertama yang mencabar waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 2 Disember 2024.
Peguam Pamela, Datuk Malik Imtiaz Sarwar berhujah bahawa SPRM menyalahgunakan kuasa dan bertindak dengan niat tidak baik dalam mendapatkan waran tersebut, selain memetik beberapa kes terdahulu bagi menyokong pendiriannya.
Mahkamah menetapkan 3 Jun ini untuk pengurusan kes selanjutnya.
Pamela dilaporkan hilang pada 9 April lalu ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM di Putrajaya.
Menurut adiknya, Simon Ling, wanita itu sempat menghantar mesej WhatsApp kepada peguamnya pada pukul 1.57 tengah hari memaklumkan beliau menaiki kereta e-hailing menuju ke SPRM.
Bagaimanapun, selepas jam 2 petang, semua panggilan dan mesej tidak lagi berbalas. Laporan polis dibuat pada jam 3.02 petang hari yang sama.