PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangguhkan sementara perbicaraan saman sivil yang difailkan bekas pembantu penyelidiknya, Mohd Yusoff Rawther, berhubung dakwaan serangan fizikal.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Supang Lian memutuskan bahawa Anwar berjaya menunjukkan terdapat keadaan luar biasa yang mewajarkan permohonan penangguhan itu.
“Di bawah Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, mahkamah mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah ad-interim demi memelihara integriti permohonan penangguhan oleh perayu,” katanya dalam penghakiman.
Susulan itu, perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dijadualkan bermula 16 Jun ini ditangguhkan sementara menunggu pendengaran penuh permohonan penangguhan Anwar pada 21 Julai 2025.
Panel tersebut turut disertai Hakim Datuk Faizah Jamaludin dan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.
Saman sivil difailkan Yusoff berkait insiden yang didakwa berlaku sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.
Dalam prosiding sebelum ini, Hakim Roz Mawar Rozain yang dijadualkan mendengar kes di Mahkamah Tinggi enggan merujuk lapan persoalan undang-undang yang dibangkitkan oleh Anwar ke Mahkamah Persekutuan untuk ditentukan.
Sebagai tindak balas, Anwar memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan dan memohon agar semua prosiding ditangguhkan sementara menunggu rayuan tersebut diputuskan.