Mahkamah Arah Chegubard, Pempengaruh Bayar RM550,000 Kepada Farhash

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berjaya memperoleh ganti rugi keseluruhan RM550,000 selepas Mahkamah Tinggi memutuskan kenyataan dibuat oleh aktivis, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, dan seorang pempengaruh adalah bersifat fitnah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi memerintahkan pembayaran RM300,000 sebagai ganti rugi am, RM150,000 ganti rugi teruk dan RM100,000 ganti rugi teladan, selain kos RM40,000.

Mahkamah mendapati kenyataan defendan pertama dalam satu temu bual telah menggambarkan Farhash sebagai individu yang mencapai kejayaan melalui hubungan politik, selain menuduhnya terlibat dalam rasuah, kronisme serta salah guna kuasa.

Menurut Arziah, kenyataan itu secara jelas merujuk kepada plaintif apabila namanya disebut berulang kali, termasuk peranannya sebagai setiausaha politik dan bekas Ketua PKR Perak.

Kandungan tersebut juga dikaitkan dengan isu pemilihan dalaman parti dan pertikaian profesional.

Mahkamah turut memutuskan defendan kedua bertanggungjawab sebagai penerbit kerana menyiarkan temu bual berkenaan di YouTube, termasuk meletakkan tajuk sensasi demi meraih tontonan dan keuntungan komersial, walaupun telah menerima surat tuntutan supaya kandungan itu diturunkan.

Arziah menegaskan, kesan fitnah berkenaan adalah berpanjangan dalam era digital dan berpotensi menjejaskan reputasi serta kedudukan perniagaan Farhash untuk jangka masa panjang.

Saman itu difailkan pada 26 Mei tahun lalu susulan temu bual yang dirakam pada 7 Mei dan dimuat naik ke akaun YouTube defendan kedua.

BBerkaitan

Latest articles