Mahathir Dakwa Muhyiddin Mahu Sokongan Darinya Untuk Jadi PM Sekali Lagi

KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjumpa dengannya kerana mahu beliau memberi sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, beliau tidak akan menyokong permintaan tersebut namun belum membuat sebarang keputusan mengenai kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Muhyiddin jumpa saya minta saya sokong dia untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi. Saya pun tak tahu sedangkan dia tahu Pejuang kalah dalam pilihan raya (Pilihan Raya Negeri Johor), kita tak kuat dan tak ada duit, tapi dia minta saya sokong.

“Saya tak tau nak kata apa, (tetapi) saya tak jadi Perdana Menteri kerana Muhyiddin lah, dia tikam belakang. Jadi saya tak dapat jadi Perdana Menteri, sekarang ini dia nak minta tolong orang (yang) dia (pernah) tikam belakang, tetapi tak mati lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan perbincangan bersama Yayasan Anti Rasuah Malaysia di Yayasan Albukhary, di sini, hari ini.

Mahathir yakin Muhyiddin tidak akan meminta pertolongannya jika bekas Perdana Menteri itu mencapai perkara yang terbaik untuk Malaysia.

“Semasa dia (Muhyiddin) jadi Perdana menteri, kebanyakan orang tak puas hati dengan dia. Orang tak puas hati dengan dia punya kepimpinan. Dia bukannya Perdana Menteri yang bagus sebab itu tak ada orang nak pilih dia semula.

“Jadi, kita tak fikir tentang tersebut (permintaan Muhyiddin yang meminta menyokongnya menjadi Perdana Menteri sekali lagi), kita tidak akan berikan sokongan kepada seseorang yang menjadi Perdana Menteri, tetapi gagal sama seperti (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles