PUTRAJAYA: Sekumpulan mahasiswa bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini berhimpun di hadapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menyerahkan memorandum menuntut tindakan lebih tegas terhadap isu buli serta mendesak Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meletakkan jawatan.
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Mohammad Azamuddin Sahar berkata, desakan itu dibuat susulan siri insiden buli, penderaan dan keganasan di sekolah serta institusi pendidikan yang didakwa gagal ditangani secara sistemik oleh kementerian.
“Antara kes yang mencetuskan kemarahan orang ramai termasuk kematian pelajar Zara Qairina Mahathir pada Julai lalu, pelajar mengalami gegaran otak akibat dipukul, insiden murid dipaksa berbogel serta kematian pelatih Palapes, Syamsul Haris,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada wakil KPM, Ahmad Faiz Abdull Rashid.
Beliau turut memetik statistik KPM yang merekodkan lebih 5,000 kes buli setiap tahun sejak 2023, menggambarkan peningkatan yang membimbangkan dan menuntut penyelesaian segera.
Memorandum yang diserahkan menggariskan lima tuntutan utama, termasuk penambahan kaunselor sekolah, talian hotline 24 jam, kerjasama strategik dengan NGO psikologi, latihan trauma-informed untuk guru dan warden, serta pelaksanaan pelan nasional anti-buli yang menyeluruh.
Selain itu, mereka turut menuntut pemantauan bebas sekolah melalui panel luar, pendedahan data kes buli secara telus, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah, penggubalan SOP lebih jelas serta kurikulum sivik yang lebih menyeluruh.
Mohammad Azamuddin menegaskan, pihaknya memberi tempoh 30 hari kepada KPM untuk memberikan maklum balas dan jaminan pelaksanaan.
“Nyawa anak-anak bukan eksperimen dasar. Jika tiada tindakan diambil dalam tempoh ditetapkan, kami tidak menolak kemungkinan menggerakkan himpunan rakyat dalam skala lebih besar sebagai tekanan kepada kerajaan,” katanya.