KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tampil menepis dakwaan kononnya wujud ‘Mafia Korporat’ yang dikaitkan dengan agensi itu seperti dilaporkan sebuah media antarabangsa baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, SPRM menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai tidak berasas dan dipercayai berpunca daripada sebuah blog dalam talian yang tidak diketahui pemilik, penulis mahupun latar belakangnya.
Menurut suruhanjaya itu, penyebaran dakwaan sedemikian dilihat sebagai cubaan terancang untuk mencalar reputasi dan melemahkan keyakinan awam terhadap tindakan penguatkuasaan yang dijalankan secara sah, khususnya melibatkan siasatan dalam sektor korporat.
“SPRM memandang serius tuduhan palsu ini kerana ia berpotensi mengelirukan masyarakat serta menjejaskan kredibiliti siasatan yang sedang berjalan,” menurut kenyataan tersebut.
Tambah SPRM, isu yang dibangkitkan bukanlah perkara baharu, sebaliknya didakwa sebagai naratif lama yang dikitar semula dengan tujuan mencemarkan imej serta integriti agensi berkenaan.
Suruhanjaya itu turut menegaskan bahawa setiap siasatan dilaksanakan berlandaskan bukti kukuh, mematuhi peruntukan undang-undang dan tertakluk kepada proses perundangan yang ditetapkan.
Dalam masa sama, SPRM memaklumkan bahawa penyebaran tuduhan tanpa sumber sah boleh dianggap sebagai maklumat palsu dan fitnah.
Perkara itu kini dalam siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
SPRM memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada polis bagi memastikan fakta sebenar dapat ditentukan menurut lunas undang-undang.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau bukti berhubung rasuah atau salah laku digesa membuat laporan rasmi melalui saluran sah, bukannya menyebarkan dakwaan di platform media tanpa asas yang kukuh.
“SPRM kekal komited melaksanakan tanggungjawab membanteras rasuah tanpa rasa takut atau pilih kasih dan tidak akan tunduk kepada sebarang usaha mencemarkan integriti suruhanjaya,” tegasnya.










