KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memberi amaran bahawa negara kini berdepan ancaman serius daripada mafia korporat yang beroperasi secara tersusun dan sukar dikesan.
Menurut beliau, sindiket ini tidak lagi bergerak secara terbuka, sebaliknya berselindung di sebalik struktur syarikat yang sah bagi mengaburi pihak berkuasa.
Lebih membimbangkan, operasi mereka turut disokong rangkaian profesional termasuk akauntan, peguam, perunding serta individu dalam agensi tertentu.
“Apa yang kita hadapi hari ini bukan jenayah biasa, tetapi satu ekosistem jenayah terancang yang digerakkan oleh mafia korporat,” katanya ketika merasmikan sesi libat urus Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) di ibu pejabat SPRM.
Azam menjelaskan, kumpulan ini bukan sahaja melindungi aktiviti haram, malah memanipulasi struktur korporat dan sistem kewangan untuk mencuci wang serta memastikan kegiatan mereka berterusan tanpa dikesan.
Kenyataan itu hadir susulan pendedahan melibatkan ahli perniagaan kontroversi, Victor Chin yang mendakwa seorang ahli Parlimen PKR meminta wang tunai RM9.5 juta bagi menyelesaikan skandal berkaitan mafia korporat.
Dalam perkembangan berkaitan, Azam turut menyorot kegiatan penyeludupan e-sisa dan plastik haram yang semakin berleluasa.
Aktiviti ini melibatkan pemalsuan dokumen, pengisytiharan palsu kargo serta penyalahgunaan lesen import.
Beliau tidak menolak wujudnya elemen rasuah dalam kalangan penguat kuasa yang membolehkan kontena tertentu melepasi sempadan tanpa pemeriksaan rapi.
“Isu ini bukan sekadar ancaman alam sekitar, tetapi turut melibatkan jenayah ekonomi dan kedaulatan negara,” tegasnya.
Selain itu, operasi penyeludupan seperti diesel menerusi Ops Karen dan tayar dalam Ops Grip turut menyebabkan ketirisan hasil cukai mencecah ratusan juta ringgit.
Azam menambah, kemampuan sindiket ini beroperasi dalam tempoh panjang menunjukkan adanya kelemahan dalam sistem, manipulasi proses serta kemungkinan penglibatan pihak yang bertindak sebagai ‘enabler’.
“Ini sesuatu yang perlu ditangani segera dan secara menyeluruh,” katanya.










