MAFI Akui Bekalan Telur Berkurangan Kerana Masalah Logistik

PASIR PUTEH: Antara punca utama mengapa bekalan telur ayam berkurangan di beberapa negeri sejak kebelakangan ini disebabkan masalan logistik.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI), Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata kekurangan bekalan telur ayam dikesan berlaku di Kelantan, Terengganu, Kedah dan beberapa negeri lain.

Bagaimanapun MAFI dan pihak berkaitan sudah membuat perbincangan dan masalah kekurangan bekalan ini akan selesai esok atau lusa.

“Isu (telur ayam) bukan tak ada bekalan tapi masalah logistik, pembekal tak dapat nak ‘cover’ logistik, menyebabkan lambakan bekalan di Kuala Lumpur.

“Kita dah bincang dan dilaporkan dua, tiga hari lagi akan selesai, kerajaan akan ‘support’ supaya bekalan dapat dihantar ke negeri-negeri yang terjejas,” katanya kepada pemberita selepas melihat hasil tembikai yang diusahakan petani menerusi projek Farmers Field School (FSS) di ladang tembikai Haji Wan Omar, Tok Bali, Pasir Puteh, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Kelantan, Norbahani Zakaria dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim.

Dalam perkembangan lain, Zawawi berkata, MAFI turut membuat persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh dalam soal bekalan makanan dan juga bantuan kepada petani, penternak dan nelayan menerusi tabung bencana alam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, selain bekalan asas seperti beras, gandum dan lauk pauk, pihak MAFI juga membuat persediaan bagi bekalan sayuran dengan membuat jadual tanaman sayuran di kawasan tempat tinggi dan berbukit.

“Antaranya kita tanam di Pahang bagi membekalkan sayuran di musim tengkujuh sebab bagi ikan, daging kita boleh buat stok,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles