“Macam Budak-Budak” – Hamzah Selar Muhyiddin Dakwaan Khianat

LARUT: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menyelar tuduhan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa beliau mengkhianati parti hanya kerana bertemu pemimpin UMNO.

Bekas Timbalan Presiden Bersatu itu menegaskan bahawa sebagai ketua pembangkang, beliau berhak bertemu mana-mana pemimpin politik tanpa sekatan.

Menurutnya, pertemuan dengan tokoh kerajaan mahupun pembangkang adalah perkara biasa dalam konteks tugasnya sebagai pemimpin blok pembangkang di Parlimen.

“Saya ketua pembangkang. Kalau saya nak jumpa Anthony Loke Siew Fook, boleh atau tidak? Dia menteri.

“Saya juga boleh bertemu timbalan perdana menteri. Jadi kenapa perlu takut?” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis di Madrasah Hafizah, malam tadi.

Hamzah turut mempersoalkan kebimbangan Muhyiddin terhadap pertemuannya dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau secara sinis berkata, tidak mungkin Zahid mampu menggugat kedudukan Muhyiddin sebagai presiden parti hanya kerana satu pertemuan.

Menurut Ahli Parlimen Larut itu, dakwaan kononnya beliau mengkhianati parti hanyalah alasan bagi menyingkirkannya daripada Bersatu.

“Semua itu hanya alasan untuk pecat saya daripada parti. Tak perlulah cerita panjang-panjang… macam budak-budak,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan mendakwa Hamzah mengadakan pertemuan dengan Zahid secara rahsia bagi membincangkan pembentukan gabungan politik baharu tanpa pengetahuan kepimpinan parti.

Beliau juga menuduh Hamzah menjadi dalang kepada gerakan dalaman yang cuba menggugat serta memecahbelahkan Bersatu, sekali gus menjadi faktor utama pemecatan Ahli Parlimen Larut itu pada 13 Februari lalu.

Dalam perkembangan lain, Hamzah mengakui beliau sedang mengadakan perbincangan dengan Parti Keluarga Malaysia, namun keputusan muktamad mengenai penyertaannya masih belum dibuat.

Katanya, beberapa perkara perlu diteliti terlebih dahulu, termasuk tujuan penubuhan parti tersebut dan sama ada perjuangannya selari dengan pendirian politik beliau.

“Perbincangan sudah hampir ke tahap keputusan, tetapi kita masih perlu menilai beberapa perkara terlebih dahulu,” jelasnya.

Tambah beliau, rundingan yang berlangsung itu bukan sahaja melibatkan Parti Keluarga Malaysia, malah turut disertai beberapa parti lain.

BBerkaitan

Latest articles