KUALA LUMPUR: Tindakan seorang lelaki memandu dalam keadaan mabuk dan di bawah pengaruh dadah berakhir tragedi apabila meragut nyawa seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Klang, semalam.
Suspek yang berusia lingkungan 20-an kini direman selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis, selepas perintah dikeluarkan oleh Majistret Siti Zubaidah Mahat bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati suspek yang memandu sebuah Honda City dari arah Jalan Raya Barat menuju ke pusat bandar Klang dipercayai memandu secara melulu dan pada kelajuan tinggi.
“Suspek dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum bertindak memasuki laluan bertentangan,” katanya.
Keadaan menjadi lebih tragis apabila kenderaan dipandu suspek merempuh sebuah motosikal yang datang dari arah hadapan.
Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa lelaki berusia sekitar 30-an tercampak sebelum terkena sebuah lagi kenderaan jenis Perodua Myvi.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ujian saringan yang dijalankan mendapati suspek positif alkohol dan dadah.
Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut, manakala polis tidak menolak kemungkinan pertuduhan berat bakal dikenakan terhadapnya.










