KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memaklumkan, sistem isyarat dan komunikasi bagi transit aliran ringan (LRT) bagi laluan Kelana Jaya berada dalam keadaan baik dan berkemungkinan dapat kembali beroperasi tidak lama lagi.
“Hari ini, mereka akan menguji 38 set tren di sepanjang laluan dengan jarak 5 minit antara setiap set tren.
“Saya boleh melaporkan bahawa sistem isyarat dan komunikasi dalam keadaan baik dan berkemungkinan besar kita dapat kembali kepada pengoperasian normal kesemua 38-40 tren di sepanjang laluan Kelana Jaya tidak lama lagi, katanya menerusi laman Facebook, hari ini.
Tambah Ka Siong, pagi ini beliau telah diberi taklimat tentang pengujian sistem kawalan tren automatik (ATC) oleh pihak Rapid Rail yang bermula pada jam 11 malam hingga jam 5 pagi tadi, sambil dipantau oleh Bahagian Perancangan dan Penguatkuasaan Rel APAD.
“Matlamat utama pengujian ini adalah untuk memastikan kestabilan dan keselamatan sistem sebelum meneruskan pengoperasian penuh.
“Pasukan ini telah menggerakkan 24 set tren di sepanjang laluan Putra Heights – Gombak,” tambahnya.
Pada 9 Nomber, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menerusi satu kenyataan memaklumkan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung selama 7 hari.
Ia berikutan perkhidmatan itu didakwa mengalami gangguan dan terpaksa dihentikan, berpunca daripada sistem kawalan tren automatik (ATC), yang menyebabkan kehilangan signal di antara pusat kawalan dan tren.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, beliau akan terus memantau perkembangan ini termasuklah ketika saya berada di Ayer Hitam.
“Mudah-mudahan saya dapat membawa berita baik esok,” ujarnya.