LPPR Terima Penjelasan Azam Baki Berhubung Pemilikan Akaun Saham

PUTRAJAYA: Penjelasan yang dibuat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki terhadap Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) pada 24 November lalu jelas menunjukkan beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam pemilikan saham seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, pihaknya berpuas hati dengan penerangan Azam bahawa adiknya, Nasir telah menggunakan akaunnya untuk membeli saham berkenaan pada tahun 2015.

Malah Azam juga menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan bagi pembelian mahupun pemilikan saham berkenaan.

Terdahulu Azam dipanggil oleh panel lembaga setelah ada pihak yang menggunakan media sosial dengan mendakwa Azam dengan isu berkaitan pemilikan saham itu sehingga mencetuskan  persepsi negatif terhadap suruhanjaya berkenaan.

“Pada masa yang sama, pembelian saham-saham tersebut dibuat di pasaran terbuka dan tiada sebarang pencanggahan kepentingan bagi pembelian saham-saham berkenaan pada tahun 2015.

“Justeru, LPPR berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan dan mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau konflik kepentingan dalam perkara tersebut,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM, petang tadi.

Abu Zahar berkata, pihaknya turut kesal dengan kenyataan bekas Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Dr. Edmund Terence Gomez berhubung dakwaan yang dikaitkan dengan Azam, sedangkan LPPR telah bercadang untuk memaklumkan perkara tersebut kepada masyarakat dalam jangka masa yang tertentu.

“Sebagai seorang terpelajar dan Ahli Jawatankuasa PPPR, tentu sekali Dr. Edmund tahu struktur dan tanggungjawab semua lima panel yang bebas memantau semua pentadbiran SPRM.

“Oleh demikian, saya berpendapat dia mempunyai tiga opsyen untuk mengemukakan perkara-perkara yang beliau tidak puas hati kepada LPPR atau Jawatankuasa Aduan (JKA).

“Saya percaya dan yakin bahawa masalah yang beliau musykilkan boleh diambil tindakan  sewajarnya kerana dalam semua ahli jawatankuasa tersebut tiada seorang pun pegawai-pegawai dari SPRM justeru mereka boleh secara bebas membuat keputusan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles