Long Tiger Akhirnya Dicekup Selepas 13 Hari ‘Bebas’

JOHOR BAHRU: Polis hari ini memaklumkan pihaknya berjaya menangkap lelaki berketurunan Rohingya, Long Tiger, yang sebelum ini bertindak melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, 15 Disember lalu.

Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, dipercayai ditahan dalam satu operasi khas yang dilaksanakan bagi memburunya.

Difahamkan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay akan mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor esok, berhubung butiran penangkapan suspek berkenaan.

Dalam kejadian pada pukul 11.55 pagi, 15 Disember lalu, Ab. Hamim bertindak meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan terhadapnya di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan bermula.

Baru-baru ini polis telah menahan sepasang suami isteri yang disyaki rakan subahat kepada Long Tiger.

Pasangan warga tempatan berusia 41 dan 43 tahun itu ditahan di Balai Polis Bukit Gambir, kira-kira 12.30 tengah malam.

Malah, dua daripada empat anggota polis yang ditahan sebelum ini terlibat secara langsung dengan aspek kecuaian sehingga Long Tiger meloloskan diri kini ditahan kerja sehingga habis proses rayuan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Sementara itu, Long Tiger juga masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan kini disiasat mengikut Seksyen 224 kanun sama kerana lari daripada tahanan.

BBerkaitan

Latest articles