Loke Tak Setuju Tindakan Yeo, Nasihat Ahli DAP Jaga Hubungan Dengan Umno

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook mengingatkan ahli partinya supaya tidak bertindak secara emosi hingga menjejaskan hubungan dengan Umno, rakan sekutu dalam kerajaan perpaduan, meskipun melibatkan isu bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bercakap dalam sebuah podcast berbahasa Cina, Loke berkata beliau telah berbincang dengan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, susulan hantaran media sosialnya yang mencetuskan kontroversi.

Menurut Loke, beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan kenyataan Yeo, namun memilih untuk tidak menegurnya secara terbuka.

Kontroversi tercetus apabila Yeo memuat naik hantaran yang seolah-olah meraikan kegagalan Najib menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Loke berkata, memandangkan Najib kini sedang menjalani hukuman, matlamat perjuangan parti sudah tercapai dan tiada keperluan untuk terus mengungkit isu tersebut.

“Tak perlu tikam lagi,” katanya merujuk kepada kenyataan Yeo.

Walaupun DAP mempunyai prinsip dan pendirian sendiri, katanya, tidak wajar merosakkan hubungan dengan rakan kerajaan.

“Jika kita mahu kerajaan bergerak ke depan dan melaksanakan reformasi, semua pihak perlu berkomunikasi dengan baik. Bila hubungan rosak, komunikasi akan jadi sangat sukar,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.

Bulan lalu, kenyataan Yeo mencetuskan kemarahan pimpinan Umno serta sebahagian tokoh dalam Pakatan Harapan selepas beliau menulis, “satu lagi sebab untuk diraikan hujung tahun ini” susulan keputusan mahkamah berkaitan Najib.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, kemudiannya menyatakan mungkin sudah tiba masanya Umno menilai semula kerjasama dengan pihak yang tidak menghargai sumbangan parti itu.

Umno Puchong kemudian memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan selepas Yeo enggan memohon maaf, manakala Pemuda Umno mengadakan konvensyen khas bagi menggesa parti menarik sokongan daripada kerajaan perpaduan.

Mengulas lanjut, Loke berkata situasi itu sebenarnya boleh ditangani dengan lebih baik.

“Jika dilihat kembali, beliau boleh tanganinya dengan lebih bijak,” katanya.

Menurutnya, jika mahu meraikan sesuatu, ia sepatutnya dibuat secara dalaman.

“Saya hanya kata tindakan dan kata-kata seperti itu tidak perlu,” jelasnya.

Najib, 72, kini menjalani hukuman penjara enam tahun sejak Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International.

Beliau sebelum ini memohon untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah, namun Mahkamah Tinggi memutuskan tiada mekanisme undang-undang yang membenarkan pelaksanaan tahanan rumah.

BBerkaitan

Latest articles