KUALA LUMPUR: Kegiatan tidak bermoral melibatkan warga asing di sekitar Taman Miharja terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melancarkan serbuan hasil risikan selama dua minggu, malam tadi.
Operasi tersebut membawa kepada penahanan 18 individu berusia 18 hingga 39 tahun, termasuk seorang lelaki yang berperanan sebagai penjaga premis.
Kesemua mereka ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Menurut JIM, sindiket itu menawarkan khidmat urutan badan dan aktiviti seks songsang yang dipromosikan secara sulit melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp.
Pelanggan dikenakan bayaran antara RM200 hingga RM800 bagi setiap perkhidmatan.
Dalam serbuan tersebut, pihak berkuasa turut merampas beberapa pasport, buku tempahan pelanggan, kondom dan minyak pelincir yang dipercayai digunakan dalam aktiviti berkenaan.
Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut, manakala seorang lelaki tempatan turut dipanggil bagi membantu siasatan.










