KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencapai kata sepakat memindahkannya ke lokasi baharu yang terletak kira-kira 50 meter dari tapak asal.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan melahirkan rasa penghargaan dengan usaha semua pihak berwajib bagi penyelesaian dalam isu tersebut.
Menurut Saravanan, kawasan baharu itu masih terletak di Jalan Munshi Abdullah dan akan dijadikan tapak tetap bagi kuil berkenaan.
“Tapak ini akan diwartakan atas nama kuil itu sendiri. Para penganut Hindu gembira dengan keputusan ini kerana kuil akan terus berada dalam kawasan Jalan Masjid India.
“Kuil sedia ada pula dibenarkan beroperasi seperti biasa sehingga kuil baharu siap dibina,” katanya kepada kepada media.
Terdahulu satu mesyuarat diadakan di antara Saravanan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Maimunah Mohd Sharif, Timbalan Menteri Perpaduan, Saraswati Kandasami, Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Seri R Ramanan bersama jawatankuasa hadir bermesyuarat sebelum kata putus dicapai.
Dalam pada itu, kata Saravanan, keputusan yang dicapai bersama DBKL mendapat sambutan baik daripada jawatankuasa kuil dan penganut Hindu yang terlibat.