KLUANG: Sepasang lelaki dan wanita berusia lingkungan 30-an ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas didapati tinggal serumah tanpa ikatan pernikahan sah sejak lima tahun lalu.
Serbuan dijalankan sekitar tengah malam di sebuah rumah sewa di Kluang hasil aduan orang awam.
Hasil pemeriksaan mendapati pasangan terbabit turut tinggal bersama dua anak kecil yang disahkan sebagai anak luar nikah berdasarkan rekod kelahiran di Hospital Kluang.
Menurut JAINJ, kedua-dua sijil kelahiran anak berkenaan hanya memaparkan nama ibu tanpa dinyatakan identiti bapa.
Siasatan awal mendedahkan wanita terbabit pernah berkahwin, namun ditinggalkan suami.
Beliau juga dipercayai pernah bernikah di luar negara melalui sindiket, namun perkahwinan itu tidak sah.
“Pasangan ini seolah-olah hidup sebagai suami isteri sejak lima tahun lalu tanpa ikatan nikah yang sah. Sepanjang tempoh itu, tiada sebarang laporan dibuat sehingga kini,” kata kenyataan JAINJ.
Mengikut Seksyen 23 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997, kesalahan persetubuhan luar nikah boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM5,000, penjara maksimum tiga tahun, enam sebatan, atau kombinasi daripada ketiga-tiganya.
JAINJ turut menegaskan bahawa kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu pihak berkuasa mencegah gejala maksiat.
“Pemimpin setempat termasuk ketua kampung dan jawatankuasa masjid perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa agar kes seperti ini dapat dibanteras lebih awal,” tambah kenyataan itu.