KUALA LUMPUR: Lima lelaki yang ditembak di perairan Tanjung Rhu, Banting, awal pagi semalam didakwa menyerang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan.
Insiden bermula apabila bot yang dinaiki suspek bertindak melanggar bot Maritim sebanyak empat kali, sebelum dua daripada mereka cuba menyerang pegawai penguatkuasa menggunakan parang.
Dalam usaha cuba mempertahankan keselamatan diri, pegawai Maritim melepaskan tembakan ke arah bot suspek yang kemudiannya melarikan diri dalam keadaan gelap.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, menyatakan bahawa Maritim Malaysia menerima maklumat daripada orang awam mengenai sebuah bot yang terdampar di Pantai Banting sekitar jam 9 pagi hari sama.
“Maritim Malaysia ke lokasi dan menemui dua lelaki di dalam bot tersebut, seorang dalam keadaan tidak sedarkan diri dan seorang lagi kritikal. Bot itu kemudian ditunda ke pangkalan Maritim di Pelabuhan Klang, sementara bantuan ambulans diminta,” jelas beliau.
Pemeriksaan mendapati seorang lelaki telah meninggal dunia, manakala yang cedera parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk rawatan lanjut.
Hussein turut memaklumkan bahawa pada jam 7.30 pagi, laporan diterima dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, mengenai tiga lelaki disyaki warga asing yang cedera akibat tembakan. Mereka tiba di hospital dalam keadaan sedar dengan kecederaan pada anggota badan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh, yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun; Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang menyebut menghalang penjawat awam menjalankan tugas, dengan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda RM10,000, atau kedua-duanya, dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 atas dakwaan melepaskan tembakan secara tidak sah, yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda tidak melebihi RM2,000, atau kedua-duanya sekali.
“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan untuk mengenal pasti motif serangan dan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap semua yang terlibat,” kata Hussein.