Lima Jawatan Tertinggi PAS tidak Dipertandingkan – Takiyuddin

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) — Lima jawatan tertinggi Pas iaitu presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden tidak akan dipertandingkan pada Muktamar Tahunan PAS ke-69 yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana hanya ada masing-masing satu pencalonan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden manakala satu daripada empat calon naib presiden telah menarik diri.

“Saya baharu menerima pengesahan seorang calon (naib presiden) menarik diri iaitu Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Jadi untuk jawatan naib presiden tiada apa-apa pertandingan.

“Ini bermakna barisan naib presiden sedia ada dikekalkan iaitu Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Idris Ahmad, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Jawatan Presiden PAS ketika ini dipegang oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles