Liga Premier Negeri Sembilan 2026: Bukan Sekadar Liga, Ini Projek Masa Depan Bola Sepak Negeri

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan terus memperkukuh pembangunan bola sepak akar umbi melalui penganjuran Liga Premier Negeri Sembilan musim 2025/2026 yang dipercayai berpotensi sebagai platform kompetitif dan berstruktur bagi mencungkil bakat baharu di peringkat negeri.

 

Majlis perasmian berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, telah disempurnakan oleh Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, YB Dato’ Haji Mustapha Nagoor baru-baru ini.

Liga berkenaan bukan sekadar kejohanan, sebaliknya menjadi landasan strategik membina ekosistem bola sepak yang mampan dan profesional.

Menurut beliau, penganjuran liga ini mencerminkan komitmen berterusan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan bersama Kerajaan Negeri melalui Pejabat Exco Pembangunan Belia dan Sukan dalam merangka laluan pembangunan bakat yang tersusun, kompetitif dan berdaya tahan.

Pendekatan itu diyakini mampu menyediakan medan persediaan terbaik ke peringkat nasional, selain memberi ruang lebih luas kepada kelab-kelab tempatan untuk berkembang secara profesional.

Liga Premier Negeri Sembilan 2025/2026 menghimpunkan 18 pasukan, sekali gus membuka peluang kepada pemain muda berpotensi untuk diketengahkan dalam suasana pertandingan sebenar yang berintensiti tinggi.

Antara pasukan yang mengambil bahagian ialah Seremban United FC, Chembong Football Club, NSFW FC, Serembban City FC, Negeri Sembilan United, Jempol Dreams, Kelab Sukan Yayasan Negeri Sembilan serta beberapa kelab komuniti lain.

Kerajaan Negeri turut menyeru sokongan padu semua pihak termasuk pengurusan pasukan, jurulatih, pemain dan penyokong bagi memastikan liga ini menjadi pemangkin kelahiran pemain berkualiti serta mengangkat martabat bola sepak Negeri Sembilan di pentas kebangsaan.

Penganjuran liga ini menandakan satu lagi langkah proaktif Negeri Sembilan dalam memperkasa pembangunan sukan belia secara inklusif dan berterusan, sejajar aspirasi negeri untuk melahirkan pasukan dan pemain yang mampu mengharumkan nama Negeri Sembilan.

BBerkaitan

Latest articles