PUTRAJAYA, 18 April 2025 — Perbadanan Aset Keretapi (RAC) hari ini mengumumkan pelaksanaan inisiatif liberalisasi pembangunan infrastruktur telekomunikasi di sepanjang koridor kereta api miliknya. Langkah strategik ini dilaksanakan bagi menyokong agenda transformasi digital negara, dengan membuka akses kepada pemain industri telekomunikasi berlesen melalui proses Request for Proposal (RFP).
Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook berkata, inisiatif ini akan mengoptimumkan penggunaan aset rel nasional untuk pembangunan rangkaian fiber optik berkelajuan tinggi, sekali gus memperluas liputan digital dan mengurangkan kos kepada rakyat.
“Kerajaan yakin bahawa dengan membuka akses kepada lebih ramai penyedia perkhidmatan melalui koridor rel ini, ia akan meningkatkan persaingan sihat serta memperkasa masa depan digital negara secara inklusif,” katanya semasa merasmikan Majlis Apresiasi dan Hari Terbuka RAC 2025 di Putrajaya.
Melalui inisiatif ini, YTL Communications Sdn. Bhd. telah diumumkan sebagai syarikat pertama yang berjaya dalam proses RFP yang dikeluarkan RAC pada tahun 2023, untuk membangunkan infrastruktur fiber optik sepanjang 1,600 kilometer jajaran rel dari Padang Besar ke Johor Bahru dan Tumpat di Kelantan.
Penyerahan Surat Setuju Terima projek tersebut disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah RAC, YBhg. Dato’ Jana Santhiran Muniayan kepada Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, YBrs. En. Wing K. Lee. Majlis tersebut turut disaksikan oleh Menteri Pengangkutan dan Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil.
Pengarah Urusan YTL Communications, YBhg. Dato’ Seri Yeoh Seok Hong menyatakan penghargaan atas peluang kerjasama dengan RAC:
“Inisiatif ini penting bagi membuka lebih banyak akses kepada internet berkelajuan tinggi demi manfaat rakyat, merapatkan jurang digital dan menyokong aspirasi Malaysia sebagai negara digital yang inklusif dan mampan,” ujarnya.
Koridor rel yang merentasi kawasan bandar utama, zon industri serta kawasan berpenduduk padat ini dilihat sebagai tulang belakang sambungan digital negara, selari dengan pelaksanaan Pelan Jalur Lebar Negara dan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA).
RAC turut menegaskan bahawa pelaksanaan liberalisasi ini tidak menjejaskan hak eksklusif sedia ada Fiberail Sdn. Bhd. yang termeterai melalui Wayleave Agreement bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sehingga tahun 2032. Sebarang pembangunan baharu akan dilakukan melalui rundingan teknikal bersama tanpa menjejaskan infrastruktur sedia ada.
RAC menyasarkan inisiatif ini akan menjana pendapatan tambahan yang akan digunakan semula untuk pembangunan industri rel negara termasuk penyelenggaraan rolling stock dan stesen, pembinaan stesen baharu, penambahbaikan kemudahan OKU, serta elektrifikasi laluan. Ia juga bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada dana pembangunan kerajaan.
“Liberalisasi ini akan memperluas capaian digital dan mencipta nilai bersama. Kita yakin, dengan sokongan pemain industri, inisiatif ini akan membawa manfaat berganda kepada rakyat dan negara, katanya