Lian Ker Nasihatkan Kasthuri Jangan Campur Urusan Zakat

TIMBALAN Menteri Perpaduan Datuk Seri Ti Lian Ker menegur tindakan Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto terlibat dalam urusan bantuan zakat kepada umat Islam.

Memetik laporan portal Suara Merdeka Lian Ker berkata, adalah lebih baik dan tertib sekiranya hal ehwal Islam diuruskan oleh penganut agama itu sendiri.

Lian Ker berkata, selaku wakil rakyat, ahli Parlimen DAP itu seharusnya tahu tindakan beliau akan mengganggu keharmonian kaum kerana melibatkan sensitiviti agama.

 

“Ramai bertanyakan pandangan saya mengenai isu YB DAP Kasthuri Pato menyampaikan sumbangan bantuan dari Pusat Urus Zakat (PUZ) Pulau Pinang.

“Bayangkanlah! Sumbangan zakat dari orang beragama Islam, tumpangan oleh MP DAP bukan Islam yang tidak memberi sumbangan. Semestinya ini membuat penyumbang bengang.

“Adalah lebih molek dan santun sekiranya urusan hal ehwal Islam seperti sumbangan zakat ini diuruskan oleh umat Islam sendiri khususnya para amil yang dilantik,” katanya.

Lian Ker yang juga Naib Presiden MCA berpandangan tidak ada keperluan kepada wakil rakyat dari mana-mana parti untuk menumpang nama atau bermain politik dengan pemberian bantuan pusat zakat.

“Baguslah MP ini turunkan gambar dan hantarannya apabila beliau ditegur tetapi jangan pula menyalahkan muslimat-muslimin yang menegur dengan memanggil mereka “bigot”, pelampau agama atau sebagainya.

“DAP sekali lagi memanipulasi isu ini apabila tindakan YB DAP Kasthuri Pato dalam menyampaikan sumbangan dari PUZ Pulau Pinang dipolitikan seakan YB Kasthuri adalah mangsa.

“Walhal disebaliknya YB salah apabila ingin menumpang nama dengan menggunakan pemberian bantuan zakat PUZ di masjid. Bak peribahasa Melayu ‘Lembu punya susu, sapi mahu nama’,” kata Lian Ker dalam satu hantaran di Facebooknya.

Jelas Lian Ker, dia pernah menjadi wakil rakyat dan senantiasa berhati-hati dalam menjaga sensitiviti dan kesucian agama Islam dalam menjalankan tugas sebagai wakil rakyat supaya tidak mengguris hati atau mengancam keharmonian agama.

Kasthuri sebelum ini dikecam oleh warganet selepas memuat naik gambar penyerahan bantuan Zakat Pulau Pinang (ZPP) kepada umat Islam sehingga memaksanya memadamkan hantaran tersebut di media sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP Amran Hazali dalam penjelasannya berkata, bantuan zakat yang disampaikan oleh Kasthuri hanyalah surat kelulusan.

“Sebenarnya, yang disampaikan ahlli parlimen terbabit bukannnya baucar sebaliknya cuma surat kelulusan.

“Tahun ini, ZPP menggunakan sistem berbeza apabila penerima bantuan boleh membeli keperluan mereka di mana-mana lebih 30 kedai yang kami lantik dan membeli barangan bernilai sehingga RM100 dengan hanya menggunakan kad pengenalan,” katanya.-SM

BBerkaitan

Latest articles