JOHOR BAHRU: Memberi alasan tempoh singkat bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Warisan mengakui pihaknya tidak mempunyai manifesto untuk dipertaruhkan kepada rakyat negeri ini.
Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal kemudiannya memberitahu partinya mahu memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
“Jelas tak payah manifesto. Ini pilihan raya yang agak singkat bagi kita. Hanya beberapa minggu.
“Kita menyasarkan (menjadi) seorang wakil rakyat, yang bertindak sebagai semak dan imbang. Dan kita sedang menyediakan diri untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.
Terdahulu Shafie mengumumkan enam calon Warisan yang akan bertanding dalam PRN Johor.
Warisan meletakkan calon-calonnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas, Bekok, Mahkota, Johor Jaya, Bukit Batu dan Permas.
Ditanya mengenai jumlah calon yang sedikit, Shafie mendakwa tidak ada gunanya untuk sesebuah parti meletakkan jumlah calon yang ramai tetapi hanya menang di beberapa kerusi sahaja.
“Kita tidak bertanding sampai 100 kerusi buat apa? Kalau menang satu sahaja. Baik kita bertanding dengan jumlah yang kecil tapi kita menang kecil.
“Kalau kita menang enam alhamdulilah. Menang 100 peratus. Awak nak bertanding 60 kerusi menang enam sahaja, baru 10 peratus kan?” katany.
Antara calon yang dipertaruhkan dalam PRN Johor adalah aktivis kemanusiaan iaitu Pengerusi Mercy Johor Mohamad Noor Suleiman.
Beliau akan bertanding di DUN Mahkota.