KUALA LUMPUR: Tindakan Sin Chew Daily menyiarkan imej Jalur Gemilang yang tidak lengkap tanpa lambang bulan sabit disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.
Sehubungan itu beliau menggesa pihak yang berkaitan menarik lesen penyiaran Sin Chew Daily serta-merta atas kesilapan yang disifatkan tidak masuk akal itu.
Menurut Razlan, Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain berjalur, sebaliknya melambangkan kedaulatan, perpaduan serta perjuangan rakyat Malaysia menentang penjajahan sejak merdeka.
“Bulan sabit yang hilang dari imej tersebut bukan sekadar kesilapan rekaan, ia adalah lambang Islam sebagai agama Persekutuan, seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Ini bukan soal teknikal semata-mata, kita sedang menyentuh perkara asas kenegaraan,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Razlan juga menyifatkan insiden tersebut sebagai pengkhianatan terhadap simbol negara, terutamanya dalam suasana politik semasa yang tegang dengan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) sering dimainkan oleh pihak tertentu.
“Kita tidak boleh lagi anggap perkara ini remeh. Ini bukan kali pertama kesilapan seperti ini berlaku. Editor Sin Chew Daily harus bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya.
Beliau turut menyifatkan tindakan tersebut sebagai mencerminkan kehilangan semangat nasionalisme jika benar pihak akhbar itu tidak mengenali rupa sebenar Jalur Gemilang yang telah berkibar selama 75 tahun.
Dalam kenyataan tegasnya, Razlan mengingatkan bahawa Jalur Gemilang adalah simbol sosial negara, yang membawa semangat Perlembagaan, kesepakatan kaum dan identiti nasional.
Dalam pada itu sehingga kini, pihak Sin Chew Daily belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas rasmi berhubung kontroversi berkenaan.