Lepas Letak Jawatan Exco, Dr Akmal Dapat ‘Salam Perpisahan’ Dari DAP Melaka

KUALA LUMPUR: Tindakan Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh melepaskan jawatan sebagai EXCO Kerajaan Negeri Melaka berkuat kuasa minggu depan menerima reaksi segera daripada DAP Melaka yang tampil mengucapkan selamat maju jaya kepada Ketua Pemuda UMNO itu.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, pihaknya menghargai khidmat Dr Akmal sepanjang tempoh empat tahun beliau berada dalam barisan pentadbiran negeri.

“Patah tumbuh hilang berganti, pasang surut lumrah duniawi. Terima kasih kepada Dr Akmal atas segala perkhidmatan beliau sebagai EXCO. Selamat maju jaya dalam urusan masing-masing,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Dr Akmal mengumumkan keputusan berkenaan ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau kini memegang portfolio EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, Dr Akmal menegaskan beliau tidak akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO seperti yang diperkatakan sebelum ini.

Sebelum ini, pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO, Dr Akmal mencabar DAP supaya turut meletakkan jawatan di Melaka memandangkan parti itu adalah sebahagian daripada kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN).

Namun, Poay Tiong menegaskan DAP Melaka tidak akan melayan provokasi tersebut.

Dalam perkembangan sama, ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem menyifatkan Dr Akmal sebagai tokoh parti yang berprinsip dan konsisten dengan pendirian.

“Saya yakin Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akan membuat keputusan terbaik berhubung peletakan jawatan Dr Akmal itu,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles