Lepas Gagal Membunuh, Kini Pihak Lawan Cuba Kawal UMNO

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya ‘musuh’ sedang berusaha mengawal parti itu setelah cubaan untuk memusnahkannya menemui jalan buntu.

Menurutnya, pihak lawan sedar akan kekuatan UMNO yang diketahui sebagai “parti keramat bangsa dan agama” dan akan bangkit meraih kemenangan selepas tewas pada PRU14 yang lalu.

“Kerana itu mereka berusaha gigih menghancurkan UMNO ‘once and for all’ sejak dua tahun lalu. Bagaimanapun usaha itu tidak pernah berjaya kerana kedegilan pemimpin dan ahlinya.

“Untuk itu UMNO mahu dalam kawalan mereka pula selepas riwayatnya tidak mampu ditamatkan. Menggunakan broker bertaraf jurucakap dan dakwa merekalah penyatuan ummah. 

“Ironinya dasar penyatuan ummah perlu berlandaskan kepada kejujuran dan keikhlasan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Tidak menamakan mana-mana pihak berdasarkan kenyataan itu, namun ia dipercayai reaksi kepada ketetapan UMMO yang memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU pada PRU15 akan datang.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO dalam mesyuarat terbarunya memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan parti pimpinan Tan Sri Munyiddin Yassin selepas Perdana Menteri mendesak UMNO menyatakan pendirian berkenaan hubungan dua parti itu.

BERSATU menerusi mesyuarat baru-baru ini juga menegaskan kestabilan Perikatan Nasional (PN) perlu diperkukuhkan, dan dalam masa yang sama maklum dengan pendirian UMNO untuk tidak meneruskan kerjasama.

Bagaimanapun, UMNO Perlis dan Sabah menyatakan pendirian yang bertentangan, iaitu untuk meneruskan kerjasama dalam PN.

Begitu juga dengan pandangan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yang membayangkan lebih banyak lagi UMNO peringkat bahagian dan negeri yang akan mengambil pendirian yang bertentangan dengan Pusat.

Zahid dalam kenyataan yang sama turut menambah dakwaan kononnya ada pemimpin UMNO yang digelar sebagai “kluster mahkamah” dan ingin mengelakkan diri daripada pendakwaan, kerana enggan menggadaikan parti itu.

“Sedangkan pemimpin ‘kluster mahkamah’ inilah yang berani dan setia perjuangkan UMNO.

“Jika mahu lihat Jika mahu lihat bagaimana kaedah menyelamatkan diri, boleh lihat katak yang kini selesa ‘di seberang jalan’. Boleh juga lihat kepada burung belatuk yang sedang kekenyangan dapat dedak ‘di belakang rumah’,” katanya lagi.

Zahid percaya jika pihak lawan berjaya mengawal UMNO, maka jenama parti akan dipergunakan dan jutaan ahlinya akan diperkudakan.

“Tanpa cabaran pemimpin dan ahli UMNO, kedudukan dan kekuasaan mereka lebih selesa dan terjamin… Adakah harus kita menyerah? Adakah perlu pasrah dan relakan sahaja cubaan pengambilalihan ini?” soalnya.

BBerkaitan

Latest articles