Lembaga Pengampunan Tidak Akan Dedahkan Minit Mesyuarat – Dr. Zaliha

Kuala Lumpur,  Ahli Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menegaskan bahawa minit mesyuarat lembaga itu adalah dokumen sulit dan tidak boleh didedahkan kepada umum.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap cadangan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Akin, yang sebelum ini mencadangkan agar minit mesyuarat didedahkan bagi memberikan kejelasan serta menghentikan spekulasi berkaitan pengampunan yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri.

“Minit mesyuarat adalah perkara sulit, jadi kita tidak boleh membuka akses kepada umum. Hak terhadap minit mesyuarat ini hanya terhad kepada ahli Lembaga Pengampunan,” katanya ketika ditemui di Majlis Peluncuran Kiosk Sentuhan MADANI, Putrajaya Sebentar tadi.

Beliau turut mengesahkan bahawa tiada sebarang perancangan untuk mendedahkan kandungan mesyuarat itu pada masa akan datang.

Terdahulu Shamsul berkata beliau berharap Jemaah Menteri dapat mempertimbangkan cadangannya itu supaya rakyat tahu perjalanan mesyuarat Lembaga Pengampunan, pandangan dikemukakan serta keputusan diambil Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika itu (sebagai Yang di-Pertuan Agong).

Najib pada Isnin peroleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, bagi memaksa kerajaan melaksanakan suatu titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu yang membenarkan beliau jalani baki tempoh pemenjaraan bawah tahanan rumah.

BBerkaitan

Latest articles