Lembaga Pelancongan Sabah Lancar Inisiatif Mesra Orang Pekak Untuk Mempromosikan Pelancongan Inklusif

Perjalanan kini bukan sekadar berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Dunia sedang menuju ke arah pengalaman pelancongan yang lebih bermakna dan inklusif, di mana setiap pengembara dapat menikmati detik yang tulen, berhubung dengan komuniti tempatan, dan mencipta kenangan yang benar-benar berharga.

Dalam semangat meraikan Hari Pekak Sedunia (28 September), Lembaga Pelancongan Sabah (STB) mengambil langkah penting ke hadapan bagi memastikan semua orang, termasuk komuniti pekak dan kurang pendengaran, dapat merasai sambutan yang mesra dan inklusif, khususnya dalam kalangan komuniti pekak di Sabah.

Tahun ini, Lembaga Pelancongan Sabah telah memulakan beberapa inisiatif ke arah keterangkuman dengan menjadi sebuah organisasi yang mesra komuniti kurang upaya pendengaran, sejajar dengan usaha global ke arah pelancongan yang lebih mudah diakses oleh semua orang.

Awal tahun ini, Lembaga Pelancongan Sabah (LPS) telah bekerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Sabah (SSD) dan Politeknik Kota Kinabalu untuk menganjurkan acara inklusif mesra pekak melalui Lampoopalooza.

Lampoopalooza merupakan acara tahunan muzik, cahaya dan seni yang dianjurkan oleh STB yang bertujuan untuk memperkasakan komuniti dan mempromosikan kesedaran positif.

Acara ini meraikan kepelbagaian dan memupuk suasana inklusif, dengan harapan untuk mencetuskan lebih banyak acara inklusif di Sabah, serta memperkasa komuniti kurang upaya pendengaran dengan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya budaya keterangkuman.

Semasa acara tersebut, kakitangan LPS dan ahli komuniti kurang upaya pendengaran bergabung tenaga untuk mempersembahkan persembahan pembukaan menggunakan bahasa isyarat. Konsert itu juga disertai dengan jurubahasa isyarat, bagi membolehkan pengunjung yang mempunyai kelainan upaya yang sama menikmati acara tersebut bersama-sama komuniti Kota Kinabalu yang hadir. Acara tersebut telah memujudkan semangat tinggi sekaligus memberikan pengalaman yang baharu kepada tetamu, termasuk pelawat antarabangsa.

Pelajar- pelajar SSD dari program ‘Sijil Khas Operasi Katering’ di Sekolah Pelancongan dan Hospitaliti Politeknik Kota Kinabalu turut mempamerkan kemahiran mereka dalam perkhidmatan makanan dan minuman dengan menyertai acara sebagai penjual. Penyertaan mereka memberi peluang dan keyakinan untuk menyumbang secara aktif dalam acara pelancongan tempatan.

Selain daripada Lampoopalooza, LPS juga telah melaksanakan usaha dalaman bagi meningkatkan kesedaran ini. Dua siri kursus asas bahasa isyarat telah dianjurkan secara dalaman untuk kakitangan STB, dikendalikan oleh jurulatih dari Persatuan Orang Pekak Sabah (SSD).

Seramai tiga puluh tujuh (37) orang kakitangan LPS kini telah dilatih untuk berkomunikasi dalam Bahasa Isyarat Malaysia melalui program khas yang disesuaikan dengan keperluan sektor pelancongan.

Inisiatif peningkatan kemahiran ini telah memperkukuh keupayaan perkhidmatan pelanggan STB, khususnya apabila Lembaga Pelancongan Sabah mula menerima kehadiran pelawat pekak semasa pameran pelancongan tempatan di seluruh negara.

Jelas sekali, penyertaan LPS dalam Matta Fair Kuala Lumpur dan Johor Bahru baru-baru ini telah menghubungkan pasukan LPS dengan pengunjung pekak yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Sabah. Usaha ini mempromosikan keterangkuman komuniti kurang upaya pendengaran dalam pavilion pelancongan Sabah, membuka jalan ke arah masa depan pelancongan yang lebih inklusif.

Selain itu, Lembaga Pelancongan Sabah turut mengadakan lawatan pengenalan pelancongan khas untuk orang pekak dengan kerjasama Persatuan Pemandu Pelancong Sabah (STGA). Seramai tiga puluh (30) orang ahli dari SSD telah menyertai lawatan bandar separuh hari dan melawat Tapak Ramsar Tanah Bencah Kota Kinabalu. Lawatan ini telah memberikan pendedahan dan pemahaman tentang bagaimana lawatan untuk keperluan istimewa dijalankan.

Langkah awal ini menandakan komitmen Lembaga Pelancongan Sabah untuk membina persekitaran pelancongan yang lebih inklusif dan boleh diakses. Selaras dengan visi ASEAN 2025 ke arah komuniti yang berorientasikan dan berpusatkan rakyat, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) memulakan langkah ke arah mewujudkan pengalaman pelancongan yang mesra dan memberdayakan semua pelawat, termasuk komuniti pekak dan kurang pendengaran.

Dengan menerapkan elemen keterangkuman dalam amalan terasnya, daripada perancangan acara dan latihan staf hingga kepada kerjasama komuniti, LPS sedang mengorak langkah ke arah masa depan di mana Sabah bukan sahaja menjadi destinasi pelancongan utama, tetapi juga memperkukuh kedudukan sebagai model pelancongan inklusif dan mudah diakses di rantau ini dan seterusnya.

Selamat Hari Pekak Sedunia!

 

LPS, SSD dan pelajar Politeknik Kota Kinabalu bergabung tenaga untuk persembahan khas pembukaan Lampoopalooza 2025.
Kafe Pop-Up Coffea oleh Pelajar Pekak Politeknik Kota Kinabalu
CEO STB, Encik Julinus Jeffery Jimit (tengah) bersama Presiden SSD, Encik Liau Kee Siong dan ahli-ahli pekak semasa lawatan pengenalan bersama LPS dan STGA ke Tapak Ramsar Tanah Bencah Kota Kinabalu pada bulan April.
Kakitangan STB bersama Encik Choong (seorang individu pekak) di Matta Fair Johor Bahru baru-baru ini.

 

 

BBerkaitan

Latest articles