Lelaki Warga Emas Hilang Ditemui Meninggal Dunia Di Hotel

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu ditemukan meninggal dunia dalam sebuah bilik hotel di Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mangsa daripada orang awam sekitar jam 4.20 petang.

“Hasil pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa berada dalam keadaan terlantar di atas katil tanpa sebarang kecederaan lain pada tubuhnya.

“Pegawai perubatan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) telah mengesahkan kematian mangsa di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik HRPB untuk proses bedah siasat yang dijadualkan esok bagi menentukan punca kematian.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) kerana tiada unsur jenayah atau foul play dikesan,” tambahnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa laporan kehilangan mangsa telah dibuat oleh isterinya pada Selasa lalu sekitar jam 4.49 petang selepas lelaki berkenaan yang menaiki sebuah kereta Honda Accord berwarna kelabu gagal pulang ke rumah.

“Susulan laporan itu, polis telah menjalankan siasatan dan membuka kertas siasatan di bawah kes orang hilang,” katanya.

Pihak polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Ketua Polis Balai Ampang Baru di talian 05-546 7005 atau mana-mana balai polis berhampiran.

BBerkaitan

Latest articles