Lelaki Vietnam Acu Pisau Pada Bayi Didakwa Hari Ini

BUTTERWORTH: Seorang lelaki warga Vietnam yang sebelum ini tular kerana mengacukan pisau ke arah seorang bayi berusia 11 bulan di sebuah pasar raya di Jalan Telaga Air, di sini, pada 9 Ogos lalu, akan didakwa di Mahkamah Butterworth hari ini.

Suspek berusia 36 tahun itu berdepan lima pertuduhan, termasuk mencuri, mencederakan, cubaan mencederakan bayi serta kesalahan imigresen kerana tinggal di negara ini tanpa dokumen sah.

Menurut pihak polis, antara tuduhan yang akan dikenakan ialah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri, Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dua mangsa, Seksyen 324/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencederakan bayi berusia 11 bulan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tinggal di Malaysia tanpa dokumen sah.

Media sebelum ini melaporkan lelaki berkenaan bertindak agresif ketika cuba melarikan diri selepas mencuri makanan laut di pasar raya terbabit.

Dalam keadaan terdesak, dia menarik seorang bayi daripada pelukan ibunya sambil mengacukan sebilah pisau, dipercayai bagi menghalang dirinya ditahan penyelia pasar raya serta pihak keselamatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman, berkata suspek direman sejak 10 Ogos lalu bagi membantu siasatan dan kini kes tersebut telah disiapkan untuk tindakan lanjut pihak pendakwaan.

BBerkaitan

Latest articles