Lelaki Terkejut Ditahan Khalwat, Rupa-Rupanya Wanita Bersamanya Sedang Mengandung

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki bujang tidak menyangka niatnya untuk “berehat seketika” di sebuah hotel di bandar ini membawa padah apabila diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bersama seorang wanita yang rupa-rupanya sedang mengandung.

Serbuan dijalankan sekitar 8.15 pagi semalam selepas JAINJ menerima maklumat awam berhubung kegiatan mencurigakan pasangan berkenaan.

Menurut kenyataan jabatan itu, pasukan penguat kuasa mengetuk pintu bilik selama lima minit sebelum dibuka oleh seorang wanita berpakaian skirt labuh dan kemeja-T. Di dalam bilik, seorang lelaki dipercayai baru bangun tidur ditemui memakai seluar panjang dan baju T.

“Lelaki berusia 20-an itu masih bujang dan tinggal bersama keluarganya, manakala wanita berusia lingkungan sama, juga bujang serta tidak bekerja,” kata kenyataan itu.

Hasil soal siasat mendapati lelaki terbabit mendakwa wanita berkenaan hanyalah “kawan biasa” dan mereka berada di hotel untuk berehat.

Bagaimanapun, lelaki itu kelihatan panik dan merayu agar keluarganya tidak dimaklumkan mengenai tangkapan tersebut.

Ketika pemeriksaan lanjut dijalankan, penguat kuasa wanita JAINJ mengesyaki wanita itu mengandung kira-kira lima hingga enam bulan.

“Apabila disoal, wanita terbabit mengaku sudah beberapa kali terlanjur dengan lelaki lain yang enggan bertanggungjawab dan meninggalkannya. Lelaki yang ditahan bersamanya pula terkejut dan tidak tahu wanita itu hamil,” jelas kenyataan itu lagi.

Kedua-duanya kemudian ditahan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor kerana disyaki berkhalwat.

BBerkaitan

Latest articles